Home / Motivasi / Hilangnya Keberkatan Masa

Hilangnya Keberkatan Masa

As-salam,

Sedar tidak sedar, kita telah melewati Ramadhan lebih 2/3 daripada bulan barakah ini. Sekarang kita sudah berada di fasa yang ketiga atau lebih dikenali sebagai ‘Fasa Pecutan’. Bagaimana perjalanan ibadah sahabat-sahabat sekelian ? Harapan saya mudah-mudahan lebih dilipatgandakan berbanding 20 hari Ramadhan yang telah berlalu.

Rasanya  begitu cepat  Ya ? bulan barakah ini hampir akan meninggalkan kita. Berbanding dengan zaman para sahabat dulu, masa zaman kita kini memang telah diangkat keberkatannya oleh Allah s.w.t. Kalau kita lihat sejarah ibadah para sahabat, tabien, salafusolleh  dulu memang hebat. Keberkatan masa yang Allah berikan kepada mereka memungkin mereka memanfaatkan waktu yang ada dengan kuantiti dan kualiti ibadah yang luarbisa.

Cepatnya perjalanan masa ini dinukilkan di dalam hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam At-Tirmizi :

“Tidak akan tiba hari kiamat hingga waktu semakin singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan 1 jam, dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma”

Ulama menafsirkan singkatnya waktu ini bermakna hilangnya keberkatan dalam waktu tersebut, hinggakan masa satu hari tidak dapat dmanfaatkan sepenuhnya melainkan hanya beberapa jam daripadanya sahaja.

Hidupkan kita ini disandarkan kepada masa, yang juga merupakan makhluk Allah. Masa ini dengan istilah lain merupakan modal hidup manusia, setiap detik pertambahannya merupakan belanja modal hidup manusia. Bahasa mudahnya insan semakin menghampiri detik kematiannya dengan modal masanya yang telah dibelanjakan. Oleh yang demikian wajarlah kita memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya sebagaimana firman Allah s.w.t. :

“Demi Masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”. [Surah al-‘Asr 1-3]

Jangan lagi ada istilah bazir masa dalam hidup kita ini, kiranya kita benar-benar ingin menjadi orang yang beriman kepada Allah. Manfaatkan setiap detik berbaki samada dalam bulan Ramadhan ini atau dalam hidup ini dengan kerja-kerja yang diibadahkan supaya setiapnya menerima ganjaran sewajarnya daripada Allah s.w.t.

Dengan tawaran hebat daripada Allah dalam bulan Ramadhan ini, apatah lagi dengan ganjaran Al-Qadar di sepuluh hari terakhir ini, ayuh kita kayuh perjalanan hidup berbaki ini untuk mencari redha Ilahi semampu mungkin dengan kudrat kurniaanNya.

Moga kita, insan yang lemah dan hina ini dapat meraihkan ganjaran dan manfaat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. dan madrasah Ramadhan ini membekali kita modal yang cukup untuk menghadapi perjuangan sehingga Ramadhan berikutnya, jika punya kesempatan!

Check Also

Tazkirah Ramadhan | Mencari Bahagia Menerusi Sabar

As-salam, Apabila kita diuji dengan kesusahan dan kepayahan lalu kita bersabar, maka hati kita akan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>