Home / Motivasi / Ilmu Agama Yang Bagaimana Perlu Ditekankan Setelah Umur di Hujung Usia?

Ilmu Agama Yang Bagaimana Perlu Ditekankan Setelah Umur di Hujung Usia?

As-salam,

Dah lama saya tak berkesempatan untuk menulis di blog ini, kekangan masa dengan pelbagai urusan menyebabkan banyak idea-idea bagus tak dapat dicoretkan di platform maya ini. Memang majoriti daripada kita sibuk dengan pelbagai urusan. Namun, belajar ilmu agama adalah merupakan kewajiban yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Dengan kemampuan yang diberi oleh Allah swt. Tidak ada alasan kini untuk kita tidak menyertai gelombang ilmu yang tersebar luas di alam maya ini.

Persoalannya, ilmu agama yang bagaimana harus ditekankan atau diberi keutamaan ketika usia menyusur ke senja. Ironinya, jika kita masih muda, seharusnya khudrat dan kemahuan yang Allah bagi ini harus diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk belajar ilmu agama sesuai dengan kekuatan usianya. Harus hadam teori dan praktikalnya. Bahkan jika berkemampuan, sebar luaskan ilmu tersebut untuk manfaat orang lain.

Namun, senario tersebut berubah bila mana usia telah meningkat, khudrat semakin lemah. Kemahuan tidak sehebat ketika usia masih hijau panas membara. Saya kongsi beberapa tips daripada seorang ustaz yang memberikan pandangannya selepas anak muridnya melontarkan persoalan ini kepada beliau supaya saki baki usia yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan meletak keutamaan ilmu-ilmu berikut sebelum ‘ dijemput pulang oleh Allah swt…’.

Ilmu Al-Quran, yang pertama baiki ilmu tajwid, ilmu bacaan Al-Quran. Ramai di luar sana yang telah mencecah usia 40, 45, 50, 60 hatta 65 tahun tetapi masih merangkak untuk membaca Al-Quran. Nak join tadarus Al-Quran pun tak confident, apatah lagi untuk menjadi imam solat. Carilah guru, hadiri seminar, attend kelas untuk memperbaiki kualiti bacaan Al-Quran sebab Al-Quran merupakan pintu masuk untuk kita lebih mudah mengenali dan merapati Tuhan. Bayangkan, bagaimana kita boleh claim ‘saya sayang Tuhan’ jika kata-kata dan nasihatNya pun kita tak mampu baca dan sukar nak faham?

Cuma berhati-hati, jangan terperangkap dengan ‘pusaran’ syok layan ilmu tajwid. Bertahun masa kita ambil betulkan sebutan huruf ‘dhod’ sedangkan isinya masih tak faham. Beriya kita cari tok guru ambil sanad, lepas seorang ke seorang tapi maksud Surah Mulk tu pun masih terkial-kial. Tajwid hanyalah ‘pintu masuk’ untuk mudahkan anda explore kandungan ‘perabot rumah’ (isi kandungan Al-Quran) yang lebih gemerlapan. Jangan pula anda ‘tersangkut’, asyik membelek pintunya sahaja!

Ilmu tafsir, Pelajari tafsir Al-Quran kerana itulah wacana terbaik untuk anda kenaliNya. Cuma, jangan tersalah belajar ilmu sebab, ada orang yg makin belajar tafsir, makin pening tak kenal Tuhan. Di manakah ‘masalah’ ilmu tafsir yg dipelajari? Rupanya, mereka terperangkap dgn ilmu teknikal tafsir. Ilmu bahasa arab, ilmu asbabun nuzul dll. Ilmu ini bukannya tidak bagus tapi untuk tahap anda, berasap kepala nak belajar!

Serius, ini bukan lawak. Dah ramai anak murid yg saya jumpa, mereka tertekan nak hafal Fe’el madhi-mudhorik-amar. Itu belum masuk sulasi, ruba’i, khumasi dan sudasi lagi. Berpeluh bang…..Saya sarankan, pelajarilah tafsir yang bukan fokus teknikal tapi ilmu tafsir yang menjawab persoalan asas, apa yang Tuhan nak beritahu saya melalui ayat/surah ini? Apa lagi sisi kehidupan saya sekarang yang boleh diubah agar selari dengan Surah sekian-sekian yang saya hadam sekarang? Ilmu tafsir ‘personal’, ilmu yang dapat kenalkan anda dengan Tuhan, baiki lifestyle & kenali tujuan hidup (akhirat). Cari tuan guru yang boleh ‘lead’ kupasan tafsir ke arah itu.

Ilmu Kenali Tuhan, Ilmu ini sering dipanggil ilmu tauhid dan di Malaysia, ada yang mempelajarinya menerusi tauhid sifat 20. Ada juga segelintir yang belajar menerusi kefahaman tauhid ‘tiga serangkai’. Apapun kitab yang anda belajar, saya harap ia mampu sampaikan anda ke penghujungnya, iaitu kenal Tuhan. Tauhid, usuluddin ni merupakan ilmu untuk kita kenal Tuhan. Kenal hingga kita rela mengiktirafNya sebagai Tuhan. Yakin hingga ke tahap, kita selesa ‘align’ kehidupan kita dengan arahanNya. Cinta hinggakan kita tak mahu lagi berpegang pada Tuhan selainNya.

Ada orang yg belajar tauhid tapi Tuhan pun tak kenal. Dia hafal betul maksud ‘qiyamuhu binafsihi, wahdaniyah’ tapi solat pun malas, Ape citer? Ini bahana ilmu teknikal. Ilmu yg dipelajari tapi tidak berjaya sampai kepada tujuan. Ia sama dengan seseorang yg hafal Quran tapi bila ditanya, ‘apa yg Tuhan ceritakan dlm Surah Al-Ahzab’, dia tak tahu. Kita tidak mahu terperangkap dlm ujian ilmu sebegitu.

Ilmu Kenali Rasul, cuba cari kuliah yg boleh buatkan anda kenal dan cinta Rasul. Ilmu yang boleh buatkan anda ghairah untuk explore hadith-hadith Rasul. Teruja untuk ikuti saranan Rasul. Gembira untuk copy and paste apa yang Rasul sarankan. Teruja nak pergi Mekah-Madinah bukan utk bershopping kurma atau selfie, tapi sebab anda tahu, disitulah tempat Rasul pernah hidup sampaikan wahyu.

Dan ia bukan setakat qasidah dan madeh sahaja. Ia bagus untuk tumbuhkan cinta tapi amati betul-betul ayat saya, BUKAN SETAKAT ITU. Itu baru pembuka. Ada banyak lagi yang perlu lakukan. Sebab, saya tak faham jika seseorang rajin hadiri selawat tapi dalam masa sama ia merokok (contoh). Dalam masa sama di rumahnya tiada pun kitab hadith. Hadith Rasul pun tak tahu sangat tapi qasidah hafal.

The worst, qasidah pun tak faham apa maksudnya. Rajin join berzanji dan program selawat tapi anak-anak tak ikut pun lifestyle Rasul. Jangan terperangkap dgn luaran, jangan sampai kita terleka jadikan berzanji dan qasidah sebagai ‘hiburan’. Berzanji, qasidah itu semuanya tools baik untuk lembutkan hati tapi ia bukan pengakhiran, ia baru permulaan. Begitu juga, pelajari hadith hingga mahir ilmu dirayah dan riwayah sampai boleh cam hadith sahih-dhoif itu bagus tapi, ia tak bermanfaat juga jika lifestyle kita tak sama macam lifestyle Rasul. Sebab, tahu dengan cinta amat berbeza. Ilmu dengan amal bezanya ibarat langit dengan bumi. Sebab pada akhirnya, Tuhan akan lihat adakah kita beriya ikuti, pertahankan dan sambung tugas Rasul atau tidak? Adakah keluarga kita cintai Rasul? Adakah kita ini benar-benar beragama hingga ke dalam (beri kesan dalam hati) atau beragama dari luarannya sahaja (banyak tahu tapi sikap tidak berubah)?

Ilmu Baiki Diri, bahasa mudahnya ilmu tasauf, ilmu akhlak. Selalunya ia di turutan terakhir. Tapi bagi saya, inilah ilmu paling utama. Ilmu yang nak sampaikan kita kepada esensi dan tujuan, mengapa kita belajar agama? Sahabat semua, saya khuatir jika kita rajin belajar ilmu tapi tujuan tak sampai. Saya khuatir jika kita terperangkap dengan rasa syok pelajari ilmu ‘teknikal’ agama hingga terlepas pandang objektif utamanya.

Sebab, objektif atau tujuan belajar agama ni mudah je, nak baiki kekurangan diri. Nak jinakkan nafsu agar ia RELA turuti saranan Tuhan dan Rasul. Nak datangkan kesedaran agar kita ni benar-benar SUKA jadi hamba. Nak timbulkan keinginan agar kita benar-benar SERIUS menganggap akhirat itu ada.

Itu tujuan belajar agama. ALLAHU AKBAR, besarkan Tuhan dalam diri, hati dan kehidupan. Nak singkir kejahatan nafsu yg suka turuti ‘dunia’ hingga prioriti melibatkan Tuhan dan Rasul kita letak nombor corot. So, fokus pada tujuan ini. Tidak bermakna ilmu agama, degree, masters dan Phd agama, title ustaz-ustazah-hafiz-hafizah jika ia tak mampu sampaikan kita ke arah itu.

Fokuslah cari kelemahan diri, bukan kesilapan orang lain. Fokuslah ilmu agama yg dapat LARIKAN sikap ‘terkesima’ dengan dunia kepada sikap ‘terkesima’ dgn Tuhan. Mudah cerita, ilmu agama yg buatkan kita suka solat, rajin sedekah, suka ke masjid, rajin bantu ke arah program kebaikan, punya hati yg lembut, berbaik sangka, do the best in our life, tidak buang masa, tidak suka maksiat, jalani lifestyle yang Tuhan redho dan selari dengan Quran dan sunnah.

Ilmu agama yg boleh bantu wujudkan ‘akhirat minded’. Mentaliti pengejar syurga dan redho. Jom sama-sama kita lari laju-laju ke arah itu. ‘Saa’riuuu ila maghfirah wal jannah’ :

‘Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa.’ (Ali-Imran, 133)

Dan jangan lupa, bawa sekali orang yang kita sayangi !

Semoga bermanfaat !

Check Also

Tazkirah Ramadhan | Mencari Bahagia Menerusi Sabar

As-salam, Apabila kita diuji dengan kesusahan dan kepayahan lalu kita bersabar, maka hati kita akan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>