Salam,
Hanya sehari saja lagi, Syaaban bakal ditinggalkan bagi memberi laluan kepada Ramadhan, bulan paling istimewa yang penuh barakah, yang dinanti dan dirindui oleh salihin khususnya ahli-ahli ibadah.
Memang tidak dapat dinafikan kedatangan Ramadhan saban tahun muncul untuk menjadi madrasah buat mendidik, menyuci dan mengembalikan insan bernama manusia ini kepada fitrah.
Datangnya dengan disiplin puasa, yang merupakan satu tarbiyah bagi memastikan tujuan akhir ibadah ini diperolehi. Ibadah puasa di bulan Ramadhan juga membekalkan tenaga/momentum iman untuk menghadapi sebelas bulan ke hadapan yang sudah pastinya dihalangi dengan berbagai ujian dan godaan.
Justeru itu, bertuahlah mereka yang masih diberi peluang untuk melalui Ramadhan ini kerana berapa ramai rakan/sahabat taulan/jiran/saudara yang ada pada Ramadhan tahun lepas, tidak dapat bersama kita pada tahun ini.
Jadi perbanyakkanlah syukur kepada Allah kerana kita masih diizinkan-Nya menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan pada tahun ini. Buktikan kesyukuran kita dengan membanyakkan ibadah yang selayaknya di bulan mulia ini – bertadarus/membaca Al-Quran, bertarawih, berqiamullail, membanyakkan sedekah, solat berjemaah dan menjaga kualiti puasa kita sebagaimana yang ditunjukkan oleh rasulullah s.a.w.
Akhir sekali, selamat menjalani ibadah puasa kepada semua rakan-rakan dan juga pengunjung blog ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya – Ahlan Wa Sahlan, Ya Ramadhan.
Admin.
Salam Aidilfitri 1414
Salam, Ramadhan bakal menghilang apabila tiba masanya, Syawal bakal mengambil alih perjalanan untuk ke bulan seterusnya. Di sepuluh yang akhir ini bertuahlah mereka yang memanfaat sepenuhnya siang dan malam untuk beribadah kepada Allah dan berusaha mencari malam yang terlebih daripada seribu bulan, Al-Qadar.
Peluang sebegini tidak akan ditemui di mana-mana bulan yang lain. Lantas, jika anda berkesempatan rebutlah sedikit daripada masa berharga anda untuk mengambil manfaat yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.
Ramadhan, datangmu dinanti, permergianmu pasti ditangisi. Syawal yang bakal menjelang diharap tidak membatalkan tarbiyaah yang diterima di bulan Ramadhan dengan makan dan minum yang berlebihan dan tidak terkawal. Jangan jadikan ia bulan membalas dendam setelah sebulan mengawal nafsu daripada pelbagai aktiviti rutin yang kadangkala tidak sepatutnya dilakukan.
Jernihkan hati dan jiwamu untuk membawa kesan tarbiyyah Ramadhan ke bulan-bulan seterusnya, moga-moga Ramadhan yang dialui ini bermanfaat untuk membawa kebaikan dunia dan akhirat.