Saidina Anas bin Malik RA meriwayatkan: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah berfirman:
يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلاَ أُبَالِي
“Wahai anak Adam, selagi mana kamu berdoa dan berharap kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan semua dosamu dan Aku tidak kisah pun.”
يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ، وَلاَ أُبَالِي
Wahai anak Adam, kalaulah dosamu banyak sehingga mencecah langit sekalipun, lalu kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan dosamu dan Aku tidak kisah pun.
يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً
Wahai anak Adam, jika kamu datang kepada-Ku membawa dosa sepenuh bumi ini, lalu kamu datang berjumpa-Ku dalam keadaan tidak mensyirikkan-Ku dengan sesuatu pun, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan seisi penuh bumi ini.
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, no. 3540)
1. Allah sentiasa menyeru hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya. Kesediaan dan kesedaran hamba Allah amat penting untuk dia kembali memohon keampunan kepada Allah.
2. Sekalipun dosa hamba itu besar dan banyak, keampunan Allah itu lebih besar dan banyak. Akan tetapi bukanlah ini menjadi sebab menangguh-nangguhkan taubat dan melakukan dosa.
3. Dosa syirik tidak akan mendapat keampunan Allah sehinggalah dia kembali mengucap kalimah syahadah dan bertaubat.
4. Jangan berputus asa daripada rahmat Allah kerana pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba-Nya selagi masanya ada.
Semoga Allah kasihan kepada kita dan mengampunkan segala dosa-dosa kita.