Solatlah Dengan Tenang Dan Berthuma’ninah

Assalam semua,

Thuma’nînah dalam solat itu termasuk salah satu rukun solat. Solat tidak dianggap sah tanpa ada thuma’nînah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengingatkan kepada salah seorang shahabat yang melakukan solat dengan buruk :

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا

Jika engkau berdiri hendak melakukan solat, maka bertakbirlah, kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagimu. Setelah itu, ruku’lah sampai engkau benar-benar ruku’ dengan thuma’nînah. Kemudian, bangunlah sampai engkau tegak berdiri, setelah itu, sujudlah sampai engkau benar-benar sujud dengan thuma’nînah. Kemudian, duduklah sampai engkau benar-benar duduk dengan thuma’nînah. Lakukanlah itu dalam solatmu seluruhnya ! (HR. al-Bukhâri,no. 757 dan Muslim,no. 397)

Solat fardhu lima waktu sememangnya mempunyai kedudukan yang sangat penting di dalam Islam. Perkara pertama yang akan dihisab bagi setiap orang Islam pada hari Kiamat ialah solatnya. Orang yang sempurna solatnya, nescaya akan berjaya dan bahagia di akhirat kelak. Akan tetapi jika sebaliknya, nescaya dia akan kecewa dan rugi sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ

(رواه الترمذي)

Maksudnya: “Perkara yang pertama sekali dihisab atau dihitung ke atas seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika (solatnya itu) baik, maka dia termasuk orang yang bahagia dan berjaya. Namun jika (solatnya itu) rosak, maka dia termasuk orang yang kecewa dan rugi. Jika terdapat kekurangan sedikit daripada solat fardhunya, Allah ‘Azza wajalla berfirman: “Lihatlah (wahai malaikat) adakah hambaKu ini mengerjakan solat sunat, maka solat sunatnya itulah yang menyempurnakan kekurangan yang ada pada solat fardhu. Kemudian demikian juga (perkara fardhu jika ada kekurangan) pada semua amalnya (akan sempurna dengan perkara sunat).” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Dalam meraih kesempurnaan itu, perkara utama yang perlu diberi perhatian dan dipelihara ialah rukun-rukun solat. Ini termasuklah menitikberatkan perkara-perkara yang diwajibkan bagi setiap rukun tersebut. Antaranya adalah thuma’ninah.

Thuma’ninah merupakan perkataan yang cukup sinonim dengan ibadat solat. Namun sejauhmanakah kita mengetahui maksud dan mempraktikkan thuma’ninah itu dengan betul di dalam solat?

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Thuma’ninah?

Thuma’ninah dari segi bahasa ialah ketenangan. Dikatakan hati itu tenang ialah apabila hati itu di dalam keadaan reda, tidak bimbang, tidak resah mahupun gusar.

Manakala dari segi istilah fiqh pula thuma’ninah bererti kestabilan atau penetapan sejenak anggota badan pada satu masa.

Hukum Thuma’ninah

Menurut pendapat jumhur ulama termasuk ulama mazhab asy-Syafi‘e, thuma’ninah itu wajib dilakukan di dalam solat sama ada solat fardhu atau solat sunat.

Terdapat empat rukun solat yang diwajibkan padanya thuma’ninah iaitu ruku‘, i‘tidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk berhati-hati dengan rukun solat yang satu ini.

Wallahualam.

About codewalker

Check Also

Senyumlah Sikit Kawan … Senyum Kan Sedekah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ لِى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: « …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *